Hikayat Panji Semirang

Pengertian Panji
            Apabila meneliti cerita-cerita panji gelaran “Panji atau Apanji” hanya muncul sewaktu tokoh Inu dan Galoh Chendera Kirana dalam penyamaran dan pengembaraan.  Dalam cerita ini, gelaran Raden Panji digunakan walaupun tokoh tidak dalam pengembaraan.
            Menurut  S. Prowiroatmodjo, Panji ialah gelaran langsung bangsawan, pangkat dalam ketenteraan atau yang setaraf dengan pangkat Wedana.  Pandangan ini ada kebenaran kerana gelaran ini hanya digunakan oleh tokoh protagonis dan tidak antagonis.  Tokoh protagonis (wira) berketurunan bangsawan seperti Raden Inu, putera kepada Raja Kuripan dan tidak daripada orang kebanyakan seperti yang diberikan oleh Pigeaud:
Panji or Apanji is an old title.  As usual its value fluctuated through the                              times.  In the fourteenth and fifteenth centuries in the Majapahit Kingdom it was a  title of prince s of the blood.  So the hero who appeared romantic tales written in this period or shortly afterwards was given the title panji, prince which soon was             used a name
                                                                                                            (Pigeaud,1967:206)

            Pandangan  Pigeaud ini telah diberikan terlebih dahulu oleh Poerbatjaraka dan beliau telah menegaskan bahawa nama Panji ini telah digunakan dalam susur galur keturunan raja-raja Jawa sebagaimana yang terdapat dalam kitab Babad Tanah Jawa dan gelaran panji digunakan oleh anak panji (Panji) Amiluhur yang menjadi raja di Jenggala
(M. Ramlan, 1975:5 dan Abd. Rahman Kaeh, 1989:18)

            Dengan demikian, Panji diberikan berbagai-bagai pengertian sehinggalah Juynboll menterjemahkannya sebagai “bijnaam” (nama keluarga) dan “bijgenaamd vekzeeg eentitel” (Abd. Rahman Kaeh, 1989:18)
            Berhubung dengan pandangan Juynboll menganggapnya sebagai nama keluarga, kemungkinan beliau mengaitkan nama keluarga yang lumrah ada pada masyarakat barat.  Beliau mungkin tidak menyedari bahawa orang Timur, lebih-lebih lagi orang Jawa sama sekali tidak menggunakan nama keluarga.  Pastinya kata “panji” mempunyai konotasi yang tepat untuk dianalisis.
            Dalam memberikan pengertian panji, Robson berpendapat:
Panji is a derivation from panji, a flag or banner, meaning having (as) a flag,’’         that is, a kind of title, the one who has such –and such on his flag.  The title Panji found, for instance, in the Majapahit period, and especially in the inscriptions of       the Kediri period.
             Pendapat Robson telah dikupas secara panjang lebar oleh Abd. Rahman Kaeh yang mempersoalankan landasan yang menjadi dasar antara tokoh dengan Panji, seperti kupasan di bawah ini:
“Robson tidak menjelaskan hal di atas secara terperinci, kecuali ia mengatakan       bahawa terdapat hubungan antara nama tersebut dengan zaman Majapahit dan Kediri.”
                                                                                                (Abd. Rahman Kaeh)
             Bagi menjelaskan hujahan, Abd. Rahamn Kaeh telah mengaitkannya dengan tokoh Jayalengkara yang menurunkan “tunggul wulung” di Majapahit sebelum meninggal dan naik ke langit.  Ketancapan tunggul ini telah membawa panyakit di Majapahit dan wabak ini terhindar setelah Jayengrana (ayah Cekel Waneng Pati) mencabutnya.  Menurut Abd. Rahman Kaeh lagi mungkin adanya kesamaan fungsi antara tunggul atau panji sakti yang sering membawa tuah kepada tokoh yang menggunakannya.  Pandangan beliau memang ada kebenarannya kerana Raden Inu dan Galoh endera Kirana sewaktu menggunakan gelaran Panji dalam pengembaraan, sering berjaya dalam sebarang peperangan, atau kadangkala tokoh wira atau wirawati ini sering dapat mengatasi sebarang kesukaran sehingga seolah-olah gelaran Panji ini mempunyai satu kesaktian yang paling ampuh.
             Sebagai rumusan, dapat dibuat kesimpulan bahawa gelaran Panji hanya diperuntukkan kepada anak raja (khususnya wira dan wirawati) swaktu mereka berkelana, mengembara mencari kekasihnya.  Gelaran Panji digunakan sebagi satu perisai yang membentingi diri tokoh agar tidak dikenali orang-orang yang ditemuinya.  Gelaran Panji juga terpaksa digunakan sebagai azimat kekuatan kerana ketika pengembaraan dan penyamaran inilah tokoh terpaksa unggul melawan segala gejala yang mendatang.

Sinopsis Hikayat Panji Semirang
Pengenalan
            Berdasarkan teks Hikayat Panji Semirang, ceritanya bermula dengan pengenalan keempat-empat ratu yang bersaudara di antara satu sama lain, iaitu Ratu Kuripan, Daha, Gegelang dan Biku Gandasari.  Mereka ini ialah jelmaan para dewa kayangan.  Ratu Kuripan adalah saudara yang tertua dan dia menjadi raja di negeri Kuripan.  Baginda mempunyai seorang isteri serta anak yang bernama Raden Inu Kertapati.  Sementara Ratu Daha saudara kedua kepada Ratu Kuripan.  Baginda mempunyai tiga orang isteri iaitu Permaisuri, Mahadewi dan Paduka Liku.  Dikatakan Ratu Daha adalah seorang yang terlalu mengasihi perempuan dan terlalu mengikut kata-kata perempuan.
            Dalam bahagian ini juga diceritakan tentang Ratu Gegelang.  Baginda mempunyai seorang anak lelaki bernama Raden Singa Menteri.  Manakala saudara keempat para ratu di Jawa iaitu Biku Gandasari.  Baginda dikatakan bertapa di gunung Wills dan tidak berkahwin.  Baginda berupaya mengetahui perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada jauh ataupun dekat.
            Dalam bahagian pengenalan nin diceritakan yang Galoh Chendera Kirana dan Raden Inu Kertapati telah ditunangkan.  Bagaimanapun terjadi perpisahan di antara mereka berdua setelah Permaisuri Daha diracuni oleh Paduka Liku.

Peristiwa Semasa Pengembaraan
            Pada bahagian nin watak-watak akan keluar mengembara.  Dalam masa pengembaraan ini banyak peristiwa terjadi.  Misalnya penyamaran, pertukaran nama, peperangan, permainan wayang dan sebagainya.  Babak paling menarik dalam cerita panji adalah babak-babak penyamaran.  Penyamaran dalam cerita-cerita panji bertujuan untuk: menyembunyikan identiti sebenar supaya jalan cerita menjadi bertambah panjang dan menarik.
             Raden Galoh Chendera Kirana bertindak melarikan diri dari istana dan membina sebuah negeri yang lain.  Ketika itu dia telah mengarahkan kedua-dua pengiringnya (yang telah menyamar menjadi pahlawan) bertindak merampas harta benda orang yang lalu lalang berhampiran dengan negeri mereka.  Raden Galoh Chendera Kirana pula bertindak menyamar menjadi pria dan menukar nama menjadi Panji Semirang.  Antara yang dirampas ialah barang-barang hantaran pihak Raden Inu kepada Galoh Chendera Kirana yang disangkakan oleh mereka masih berada di istana Ratu Daha.  Rampasan itu membuatkan Raden Inu sendiri yang kemudiannya pergi ke negeri Panji Semirang.
            Penyelesaian dapat dilakukan bagaimanapun Inu tidak tahu raja yang sedang berhadapannya adalah Galoh Chendera Kirana.  Raden Inu kemudiannya ke istana Daha dan diberitahu bahawa Raden Galoh Chendera Kirana telah hilang dari istana.  Sebagai ganti, Inu dikahwinkan dengan Galoh Ajeng.  Inu pula sentiasa teringat-ingat Panji Semirang (Galoh Chendera Kirana) yang ditemuinya semasa dalam perjalanan ke istana Daha.  Tambahan pula dia merasa benci dengan sikap Galoh Ajeng yang terlalu mengada-ngada.  Akibatnya Inu lari meninggalkan isterinya itu lalu keluar mengembara mencari Panji Semirang yang dirasakan olehnya mempunyai daya tarikan yang istimewa dan “unik.

Peleraian Cerita
            Peleraian cerita berlaku apabila watak Raden Inu telah bertamu dan mengenali pemain gambuh yang diminatinya itu adalah Raden Galoh Chendera Kirana. Yang aneh dalam setiap cerita panji, watak Galoh pasti akan mengenali watak Inu yang sedang menyamar.  Bagaimanapun Inu sukar sekali untuk mengenali Galoh Chendera Kirana yang sedang dalam penyamaran.  Cuma dikatakan Inu amat tertarik dengan orang yang sedang berhadapan dengannya dan cara layanan Inu terhadap “lelaki” yang bersama-samanya agak aneh.  Layanannya seolah-olah lelaki itu perempuan terutama terhadap Panji Semirang.
              Identiti Galoh Chendera Kirana diketahui oleh Raden Inu apabila dia ternampak Raden Galoh Chendera Kirana sedang bermain-main dengan anak-anakkan emas pemberiannya.  Selepas pertemuan itu kedua-dua mereka pulang ke istana Ratu Kuripan dan dikahwinkan.


Petikan :Hikayat Panji Semirang
Muka surat:24-25
Terbitan:Pustaka Antara

Paduka Liku melihat hal anak-nya, Galoh Ajeng itu mata-nya balut bekas menangis, sakit-lah hati-nya teramat sangat, lalu mengadap ke-bawah duli Sang Nata.  Paduka Liku itu lalu duduk berderet dengan Mahadewi di-hadapan Sang Nata itu.  Pada masa itu Galoh Chendera Kirana dudok jauh tanda menghormati pada ibu-nya.  Baginda Sang Ratu melihat tingkah laku paduka anakanda sangat hormat dan ta’adzim itu, bertambah-tambah-lah belas kasehan hati-nya, sebab di-lihat-nya, bahawa puteri-nya itu mengetahui akan darjat diri-nya dan lemah lembut segala barang laku-nya.  Baginda Sang Ratu memanggil Chendera Kirana, di-ajak-nya santap.  Ia pun datang-lah dengan ta’adzim serta menyenbah, lalu santap bersama-sama dengan Sang Nata dan Mahadewi itu.  Pada masa itu Paduka Liku dan Galoh Ajeng itu sakit hati teramat sangat dan timbul-lah kedengkian di-dalam hati-nya, kerana melihat Chendera Kirana santap.  Sunggoh masing-masing santap, tetapi hati Paduka Liku dan Galoh Ajeng tiada terlepas daripada kedengkian itu.  Sa-telah sudah santap lalu kembali-lah dan masing-masing di-iringikan oleh dayang-dayangnya.  Sa-telah masing-masing sudah tiba ka-dalam istana-nya, Paduka Liku tiada juga hilang sakit hati-nya dan tiada mengetahui apa yang akan di-buat-nya.  Pada ketika itu lalu ia membuat tapai dan di-buboh-nya rachun, lalu di-taroh-nya di- dalam bokor emas.  Sa-telah sudah lalu di-suroh persembahkan oleh dayang-dayang-nya pada permaisuri, dayng-dayang itu pergi-lah membawa persembahkan yang di-taroh di-dalam bokor yang amat majlis dan permai itu sa-hingga tiada tersangka, bahawa telah berchampor dengan rachun.  Dayang-dayang itu pun berjalan menuju ka-istana permaisuri.  Sa-telah sampai lalu di-persembahkan-nya persembahan itu dengan manis muka-nya seraya berdatang sembah, katanya:
“Ini-lah persembahan Paduka Liku yang tiada dengan seperti-nya, yang di-iringi dengan sujud, di-suroh Paduka Liku persembahkan ka-bawah duli tuan-ku”

Permaisuri lalu menyambut bokor itu sambil memandang muka dayang-dayang yang amat manis itu, serta di-suroh-nya dayang-dayang-nya menyalin bokor itu, lalu di-salin dayang-dayang-lah bokor itu.  Sa-telah itu lalu kembali-lah dayang-dayang itu dan di-persembahkan-nya apa-apa yang telah di-perbuat-nya itu.  Paduka Liku bersuka hati teramat sangat dan berfikir di-dalam hati-nya:
“Pada hari ini-lah permaisuri itu akan mati dan aku-lah yang akan menggantikan-nya menjadi permaisuri, jikalau Chendera Kirana yang memakan itu, neschaya ia pun akan mati juga dan anak-ku Galoh Ajeng akan aku jadikan tunangan Raden Inu Kertapati, supaya kerajaan negeri Daha dan Kuripan di-dudokki-nya semua, kerana patut-lah ia menggantikan”

Sa-telah sudah ia berfikir yang demikian, lalu di-suroh-nya dayang-dayang-nya menutup pintu.  Dayang-dayang itu lari menyembunyikan diri-nya, hanya tinggal Galoh Ajeng dan Paduka Liku sahaja di-dalam puri itu dan rupa-nya tiada lain yang di-fikirkan-nya hanya:
“Jikalau permaisuri memakai tapai itu, ia ta’dapat tiada, pada hari itu akan mati”
    
    Falsafah Dalam Petikan
            Berdasarkan petikan falsafah yang terdapat di dalamnya ialah mengenai perasaan hasad dengki.  Akibat dari perasaan tidak puas hati maka timbullah perasaan iri hati atau dengki.  Misalnya dari perasaan tidak puas hati Paduka Liku terhadap layanan yang diberikan oleh Sang Nata kepada Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana, maka timbullah perasaan iri hati atau dengki yang teramat kepada mereka.  Paduka Liku telah bertindak membuat tapai yang diisinya dengan racun untuk diberikan kepada Permaisuri.  Paduka Liku beranggapan bahawa jikalau Permaisuri yang memakan tapai itu dan meninggal dunia, dia akan diangkat kedudukan menjadi permaisuri.  Manakala seandainya Raden Galoh Chendera Kirana yang memakan tapai dan meninggal dunia, maka dia akan menunangkan anaknya Raden Galoh Ajeng dengan Raden Inu Kertapati dan ingin menguasai kerajaan Daha dan Kuripan.
            Jika kita mengkaji di sebalik petikan, perkara yang ingin diutarakan adalah berkaitan dengan perasaan iri hati atau hasad dengki.  Cuba kita mengimbas sejarah silam di mana kenapa iblis tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam a.s ?  Sebab iblis sangat dengki terhadapnya.  Barang sesiapa di antara kita memiliki sifat dengki atau iri hati, maka sesungguhnya kita telah memiliki salah satu sifat iblis.  Rasulullah s.a.w bersabda, “melepaskan dua ekor serigala lapar di kandang kambing tidak lebih besar bahayanya jika di bandingkan dengan seorang muslim yang rakus terhadap harta dan dengki terhadap agama.  Sesungguhnya dengki itu memakan habis kebaikan, seperti api membakar kayu”
                                                                                                            (HR. At. Tirmidzi)
               Seseorang pendengki hidupnya tidak akan mulia di dunia.  Malaikat pun akan benci dan muak kepadanya.  Jika kelak meninggal dunia, dia akan mendapat kedudukan yang teramat hina di sisi Allah s.w.t.  Manakala di Yaumul Hisab timbangannya akan terbalik sehingga neraka Jahanam akan menerkamnya.  Itulah nasib malang yang akan Allah timpakan kepada seorang yang bergelar “pendengki”

   Apa itu dengki ?
Hasad dengki ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan.  Perkataan hasad berasal dari bahasa Arab iaitu al-hasad.  Seseorang yang memiliki sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.  Dalam bahasa Melayu perkataan dengki digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud “kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang sangat.  Jadi hasad dengki merupakan perasaan tidak senang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan.

            Secara garis kasar sifat dengki ini terbahagi kepada dua bahagian.  Pertama dengki yang diharamkan.  Seseorang berasa tidak senang akan kenikmatan yang diperolehi orang lain dan berasa bahagia kalau orang lain mendapat musibah.  Hal ini terbukti apabila Paduka Liku telah bertindak menganiayai Permaisuri dengan memberikan tapai berisikan racun.  Ini telah menyebabkan Permaisuri memakannya dan mengalami sakit lalu meninggal dunia.  Tindakan ini berpunca dari perasaan Paduka Liku yang dengki terhadap Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana atas layanan yang diberikan ke atas mereka.  Ini dengki yang diharamkan kerana sifat seperti ini termasuk ke dalam tingkat ketiga penyakit hati.
            Kedua, dengki yang dibolehkan berupa rasa iri kepada kenikmatan orang lain tetapi tidak ingin menghilangkan kenikmatan tersebut daripadanya.  Melihat orang lain memiliki rumah bagus misalnya, kita merasa iri hati ingin memiliki hal yang sama da tidak dengan merampas hak orang tersebut tetapi dengan cara berusaha igin memiliki rumah seperti itu dengan usaha sendiri.  Keinginan seperti ini wajar sahaja di dalam Islam.  Bahkan “kebolehan” merasa dengki seperti ini insya Allah akan berpahala apabila berbuat sedemikian seperti melihat oarang berilmu dan gemar mengamalkan ilmunya, giat berdakwah dengan penuh keikhlasan dan kita pun ingin melakukakan dan melihat oarang kaya yang gemar membelanjakan hartanya ke jalan Allah, lantas kita juga ingin berbuat hal serupa.     
            Antara punca-punca yang nmencetuskan perasaan dengki ialah disebabkan kebencian dan permusuhan.  Sifat ini muncul kerana pernah disakiti, difitnah, salah satu haknya dilanggar atau sebab-sebab lain yang merugikan dirinya.  Misalnya Paduka Liku sakit hati apabila Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana mendapat layanan lebih daripada Sang Ratu dan Sang Nata.  Manakala dirinya dan Raden Galoh Ajeng tidak mendapat layanan sedemikian rupa.  Maka tidak hairanlah timbul rasa kebencian dalam diri Paduka Liku sehingga sanggup meracuni Permaisuri dengan memberi tapai yang racun.
            Selain itu, hadirnya naluri untuk selalu lebih daripda orng lain.  Naluri ini merupakan jalan menuju penyakit dengki.  Paduka Liku begitu dengki apabila Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana mendapat layanan lebih daripadanya.  Hal ini membuatkan Paduka Liku berhasrat untuk melenyapkan (mambunuh) salah seorang daripada mereka.  Allah s.w.t berfirman dalam QS An-Nisa A:32
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada      sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (kerana) bagi lelaki ada      bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian        daripada apa yang mereka usahakan.  Dan mohonlah kepada Allah sebahagian       daripada kurniaan-Nya.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

            Punca yang lain membawa sifat kedengkian dalam hati ialah disebabkan mempunyai akhlak yang buruk.  Orang yang buruk akhlaknya akan kikir berbuat kebaikan dan tidak suka melihat oarang lain mendapat kebaikan.  Jika mereka melihat sesuatu yang tidak disukai, mereka pasti akan mengutuk dan sibuk menyalahkan.  Oarang seperti ini hidupnya akan selalu sengsara dan di akhirat kelak akan mendapat pindaan pahala yang mereka miliki kepada orang yang didengkinya.  Rasulullah s.a.w menyebutnya sebagai oarang muflis.  Ia membawa kebaikan tetapi pahala itu habis untuk mengantikan dosa yang dilakukannya kepada orang lain.
            Kita hidup seharusnya seperti oarng yang memandikan mayat.  Ia akan senang apabila ada yang membantu.  Ketika berkiprah dalam dakwah hendaklah kita bersyukur tatkala ada saudara seiman yang memiliki misi yang sama dan ditakdirkan ilmu dan jemaahnya lebih ramai dari kita.  Jika seseorang itu memiliki perasaan dengki, ini menunjukkan iman seseorang  itu belum cukup sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada iblis.  Sifat dengkilah maka iblis atau syaitan mengoda Adam sehingga terkeluar dari syurga dan kerana dengki juga maka terjadi pembunuhan antara Qabil dan Habil.
            Secara kesimpulannya, cuba kita renungkan punjangga Arab pernah berkata “orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan.  Orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta”.  Ibnu Sina pernah berucap “saya tidak sempat dengki di dunia ini, kenapa saya harus dengki, apatah lagi dengki kepada orang soleh ?    Bukankah dunia ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat kelak.  Apakah  perlu kita  dengki ?”. 

  BIBLIOGRAFI


Hikayat Panji Semirang, 1963. Kuala Lumpur: Pustaka Antara

Noriah Mohamed dan Mariyam Salim, 2005. Sastera Panji. Kuala Lumpur: Dewan            Bahasa dan Pustaka


Nota Kuliah Sejarah Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

htpp://www.epustaka.com/blog/tazkirah

http://www.nurqudrah.com/index.pHD

http://www.sabah.gov.my/jheains
 

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...